Tags:

MENGECAM SEKERAS-KERASNYA USAHA ISRAEL UNTUK MENJADIKAN BAITULMAQDIS SEBAGAI IBU KOTA RASMINYA

Comment

KENYATAAN SOLIDARITI

PPSM mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya usaha Israel untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota rasminya. Sejak dahulu lagi, peristiwa penjajahan Zionis-Israel ke atas Palestin telah menindas umat Islam lebih satu abad dan merubah landskap pemerintahan di Asia Barat sehingga peta negara Palestin berubah sama sekali, daripada sebuah negara Islam yang bebas dan merdeka kepada jajaran-jajaran kecil akibat penjajahan dan rampasan tanah sehingga memisahkan umat Islam kepada koloni Gaza dan Tebing Barat.

Terbaru, apa yang disuara oleh Presiden Amerika, Donald Trump sebagai rakan sekutu kuat Israel bagi mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, bukanlah ia kali pertama dibuat kerana sebelum ini terdapat Presiden-Presiden Amerika terdahulu pernah menyokong, menyuara dan mempengaruhi perkara yang sama bagi menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kepada negara haram tersebut.

Malah media-media massa pro barat seperti CNN, MSNBC, FoxNews melaporkan berita berat sebelah dan gambaran salah dengan memaparkan bahawa umat Palestin sebagai agresif, radikal dan mengancam kedudukan mereka sedangkan punca sebenar umat Palestin bangkit menentang mereka sejak dahulu lagi tidak diberi tempat dan diperjelaskan satu-persatu.

Apakah kamu tidak malu yang kamu sebenarnya tiada negara, lalu kamu mencerobohi tanah air Arab Palestin berdekad-dekad lamanya, lalu kamu usir penduduk, perangi anak-anak watan, cetus ketidakstabilan, praktik keganasan, bunuh warga permastautin, rosak harta awam, musnah pembangunan, luas penempatan, sekat bantuan, halangi umat Islam bersolat di Masjid Al Aqsa dan kini kamu iktiraf Baitulmaqdis di sebagai kamu punya ibu negara. Keangkuhan kamu berterusan menyebabkan kamu akan terima balasan daripada Allah SWT akibat perbuatan kamu sendiri.

Justeru, PPSM menolak sekeras-kerasnya usaha Baitulmaqdis dari sewenang-wenang diambil oleh Yahudi-Zionis Israel. Baitulmaqdis adalah khazanah berharga kerana kaitannya dengan peninggalan bumi para anbiya, sirah dan sejarahnya begitu sinonim dengan Islam sehingga disebut begitu bermakna dalam Al-Quran dan Hadith. Malah sudah banyak sekali umat Islam bersabar dengan pelbagai perjanjian, deklarasi dan resolusi yang ternyata melanggar hak-hak Palestin. Isu ini bukan sahaja mencabul maruah umat Islam tetapi telah melepasi garis kemanusiaan, keagamaan dan perundangan antarabangsa sejagat.

PPSM bersama KPIP dan kesepaduan umat Islam seantero dunia akan terus bangkit menyatakan tentangan terhadap sebarang usaha untuk merampas kedaulatan Baitulmaqdis dan pada masa sama akan terus menunjukkan solidariti untuk keamanan dan kebebasan Palestin. (Tiadalah makna Palestin tanpa Baitulmaqdis!)

 

– Barisan Pimpinan,
   Pusat Pintar Sains dan Matematik (PPSM)
   Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP)

#SaveBaitulmaqdis
#FreePalestine

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *