PELANCARAN PINTAR AKADEMIK WAQAF ILMU – MUMTAZ (WAQAF PERAK AR-RIDZUAN)

Comment

JALINAN KERJASAMA PINTAR AKADEMIK

8 Apr 2017 –   Majlis Pelancaran Pintar Akademik Pintar Akademik Waqaf Ilmu – Mumtaz (Waqaf Perak Ar-Ridzuan)  telah diadakan di Pusat Pintar Sains dan Matematik (PPSM) – KPIP pada hari Sabtu, 8 April 2017 dalam suasana meriah. Majlis ini disempurnakan oleh pelancarannya oleh A.F. Ustaz Suhaimi b. Yusoff, Pengurus Besar Bahagian Mal dan Wakaf, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mewakili Y.Bhg. Dr. Amiruddin b. Muhamed, Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPk.

Program Pintar Akademik Waqaf Ilmu – Mumtaz (Waqaf Perak Ar-Ridzuan)  yang diadakan  ini merupakan program bercorakkan pendidikan  di antara Pusat Pintar Sains dan Matematik (PPSM) – Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi memacu potensi akademik pelajar.

Di majlis tersebut, A.F. Ustaz Suhaimi Yusoff menyatakan, program yang tersenarai di bawah Waqaf Perak Ar-Ridzuan merupakan bimbingan kelas bagi pelajar yang terdiri daripada golongan anak ibu atau bapa tunggal, anak-anak fakir dan miskin yang terpilih daripada beberapa sekolah daerah Ipoh. Melalui program ini, ia memanfaatkan kumpulan para pelajar tingkatan 3 untuk mendapat peluang pembelajaran tambahan  di samping terus mendapat pendidikan formal di sekolah.  Seramai 37 para pelajar  mengikuti program pendidikan yang dijalankan di luar waktu sekolah bertempat di PPSM dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sains yang diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad.  Di samping para pelajar mengikuti kelas akademik, beberapa modul seperti program Dhuha, program pemantapan jati diri dan teknik kecemerlangan diadakan bagi membentuk keterampilan peribadi para peserta.

Sementara itu, Tuan Haji Abdul Rahman Najib Haji Mohd Noor yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PPSM berkata, program pendidikan yang dijayakan dengan kerjasama MAIPk ini dapat meringankan beban keluarga kerana terdapat anak-anak di luar sana  yang tidak mampu dari segi kewangan dan pada masa yang sama dapat membantu akademik golongan pelajar dalam beberapa mata pelajaran.  Manakala Presiden KPIP, Ustaz Khairil Amri Abdul Rahman mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kerjasama di antara PPSM-KPIP-MAIPk dapat dijayakan secara berterusan kerana program seumpama ini dapat menghubungkan agensi kerajaan negeri dan institusi milik KPIP dengan warga masyarakat dalam lapangan pendidikan serta keilmuan.

Sebagai simbolik perasmian Majlis, pihak MAIPk telah menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 bagi melestarikan program ini yang disempurnakan oleh A.F. Ustaz Suhaimi Yusof, Pengurus Besar Bahagian Mal dan Wakaf MAIPk.  Pada majlis yang sama, para  pelajar telah menerima cenderahati buku kamus Oxford Fajar sebagai suatu lonjakan semangat pembelajaran manakala tetamu yang hadir dipertontonkan persembahan teristimewa oleh para pelajar, rangkuman syair-sajak-nyanyian bertemakan ‘Guru dan Pendidikan’.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *