PPSM » PROFIL PPSM

PROFIL PPSM

PUSAT PINTAR SAINS DAN MATEMATIK atau akronimnya PPSM merupakan institusi kedua yang ditubuhkan di bawah KESATUAN PELAJAR ISLAM PERAK (KPIP) selepas kejayaan penubuhan Pusat Pelajar Islam (PPI-Tahun 1991). Bangunan PPSM ini merupakan bangunan kerajaan yang pada asalnya adalah tapak Kolej Islam Darul Ridzuan yang telah berpindah ke Kuala Kangsar pada tahun 2008 atau kini dikenali dengan nama Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

Jawatankuasa Pengelola Penubuhan PPSM telah mengambil inisiatif dengan membaik pulih bangunan ini di bawah peruntukan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak untuk dijadikan sebuah pusat kecemerlangan pengetahuan yang dapat memacu ketinggian ilmu. Ianya siap dinaik tarafkan   sebagai sebuah institusi PPSM pada 15 Disember 2009 melalui satu upacara majlis ringkas penyerahan kunci oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak kepada  Jawatankuasa Pengelola Penubuhan PPSM dan KPIP.  Lanjutan daripada  pembangunan PPSM ini, beberapa program akademik  dan program keilmuan telah dijayakan.

PPSM  secara rasminya telah disempurnakan perasmiannya pada hari Sabtu, 23 Februari 2013 bersamaan 12 Rabiulakhir 1434 oleh Exco Perak, Y.B. Dato’  Mohammad Zahir bin Abdul Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kewujudan institusi PPSM yang terletak di tengah-tengah bandar raya Ipoh berperanan menerajui bidang pengetahuan berorientasikan Sains, Matematik, ICT dan inovasi agar aplikasi ini dipacu dan dijanakan sebaik  mungkin dalam meniti arus perkembangan  zaman  bagi  pembinaan generasi insaniah.   Di  samping itu, institusi  ini  berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik, penganjuran  majlis-majlis ilmu di samping menjayakan aktiviti, latihan,  kursus   dan  seminar  keterampilan  modal insan.

PPSM  yang tersergam indah dengan keluasan kira-kira seekar ini terletak di Jalan Dato’ Seri Sha’ari, 30350 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.