Tags:

RESENSI BUKU: KUASA IQRA

Comment

RESENSI BUKU

24 Ogos 2017 – Bibliophilia buku Kuasa Iqra – Menguasai Dunia, Menikmati Akhirat telah diadakan di Sekretariat KPIP kepada kumpulan audien yang terdiri daripada beberapa ahli KPIP dan aktivis ABIM. Resensi ini telah dibentang oleh Sdr. Faisal Haji Mohamed yang juga merupakan Bendahari KPIP. Buku Kuasa Iqra dengan setebal muka surat 136 muka surat telah dihasilkan oleh tokoh ulama yang tidak asing lagi, Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri.

 

 

Judul : Kuasa Iqra – Menguasai Dunia, Menikmati Akhirat
Penulis : Zulkifl Mohamad Al-Bakri (Dr.)
Halaman: 136
Genre: baca, lestari ilmu
Penerbit : PTS Islamika
Tahun Terbitan : 2012

 

Berkenaan info Penulis, beliau merupakan Mufti Wilayah Persekutuan yang dilantik pada 23 Jun 2014 dan berasal dari Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah, Kuala Terengganu (1976 -1981); Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Ladang, Kuala Terengganu (1982 – 1984);  dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu (1985 – 1988). Seterusnya Penulis menyambung pengajian tingginya di peringkat Sarjana Muda (B.A.) Syariah di Universiti Islam Madinah (1989 – 1993); Sarjana Syariah di Universiti Al-Ulum Al-Islamiah Wa Al-Arabiah di Damsyik, Syria (1994-1997); dan Pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (School of Humanities), Universiti Sains Malaysia (2002-2004). Tajuk penyelidikan ilmiahnya ialah Institusi Mufti dan Fatwa: Satu Analisa Terhadap Enakmen dan Beberapa Fatwa Pilihan Negeri Sembilan. Penulis juga telah menghasilkan  penulisan buku sehingga 300 lebih pengkaryaan.

Melalui pembentangannya, Sdr. Faisal telah menukilkan Kuasa Iqra membangun insan yang berilmu, berakal sihat. Mengambil semangat intipati surah Al-Alaq, iaitu ayat yang julung pertama turun ke bumi, Iqra memberi pengertian ‘baca’ yang membawa makna luas dalam menggapai ilmu pada diri. Ia wajar direnungi, ditafsir dan diterjemahkan dalam tindakan yang berkehendakkan bawa manusia wajib memenuhi diri dengan pengetahuan.

Buku ini terbahagi kepada 13 bab.  Dirumuskan di sini, bab boleh dijuruskan kepada kefahaman Surah Al-Alaq; bab berkenaaan topik pembacaan seperti tip,teknik, kemahiran dan faedah membaca; bab sosok tokoh rajin menelaah; bab perpustakaan tersohor  dan akhir sekali bab hasil  koleksi pengkaryaan Penulis.

Penulis mengetengahkan terdapat beberapa tahap pembacaan iaitu FAST READING – membaca cepat; CAREFUL READING – membaca cermat; ANALYTICAL READING – membaca sambil menilai dan CRITICAL READING – membaca secara kritis. Manakala previewing, scanning, skimming dan membaca word to word merupakan teknik membaca.

Oleh kerana Penulis seorang ulama, nilai-nilai islami sangat terserlah dan sinonim dalam penulisan ini. Oleh itu, Penulis membawa pembaca menelusuri sejarah perpustakaan terhebat dalam tamadun Islam, tokoh-tokoh ulama yang prolifik, kitab-kitab ilmu sebagai sumber pengetahuan berharga.

Dalam menelusuri bahan bacaan, Penulis mengingatkan bahawa bukan semua pembacaan boleh diamalkan malah menekankan bahawa pembacaan yang bertentangan nilai diri boleh mempengaruhi tindakan dan sifat kepada pembaca tersebut seperti bahan bacaan bercanggah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah, buku bacaaan ajaran sesat, ilmu berkaitan pengamalan sihir, ilmu berkaitan ideologi menjarakkan seseorang dengan Islam, kisah cinta yang mengasyikkan dan komik kuasa sakti yang menimbulkan khurafat.

Secara rumusannya, buku ini seolah nampak ringkas, namun padat dengan pengetahuan yang bermakna. Pembacaan ini sangat sesuai ditelaah di peringkat pelajar, mahasiswa sehingga khalayak awam. Penulisan pula banyak disusun dalam bentuk ‘penyenaraian’ yang memudahkan pembaca terus ke tajuk dan bab tanpa melalui perenggan yang berjela-jela. Ia juga menggambarkan Penulis seorang ilmuwan terkemuka kerana banyak sumber rujukan terkait dengan tema buku ini, memenuhi ruang di dada halaman, begitu juga tidak lupa pada bibliografi dicatit di lampiran buku ini. Sesungguhnya buku Kuasa Iqra memberi pedoman terbaik bahawa dengan iqra atau baca itu, seseorang dapat membina pengetahuan bernilai sehingga secara langsung dan tidak langsung membentuk ketinggian karakter peribadi diri dan ummah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *